Pendidikan Seni Visual
menggantikan nama Pendidikan Seni yang terdahulu. Perubahan ini dirasakan lebih
sesuai kerana dalam hubungan seni di sekolah, Pendidikan Seni Visual lebih
menjurus kepada seni tampak atau visual, dan tidak merujuk kepada seni lain seperti
seni muzik, seni sastera, seni tari dan seni mempertahankan diri. Pendidikan
Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada pelajar memupuk minat, memperkembang
keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan
alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain. Pelajar di sekolah
rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Pendidikan Seni
Visual memainkan peranan memperkembang sifat ini melalui persepsi visual,
imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk
dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan
ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana ia membantu pelajar membina
keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri. Pendidikan
Seni Visual sekolah rendah menyarankan strategi pembelajaran yang bersepadu
dalam mata pelajaran ini dan antara mata pelajaran lain. Pengajaran dan
pembelajaran akan lebih berkesan dengan aktiviti kemahiran befikir secara
kritis dan kreatif (KBKK). Pelajar digalakkan menyimpan rekod pengalaman
pembelajaran dan hasil kerja sendiri. Amalan ini akan melatih pelajar membuat
analisis, sintesis dan refleksi terhadap pembelajarannya untuk faedah sendiri.
Pendidikan seni visual sekolah rendah Setiap pelajar mempunyai pelbagai
kecerdasan seperti ruang visual, kinestetik, interpersonal dan intrapersonal.
Sifat ini amat penting untuk membantu pelajar berkarya, berkomunikasi dan
mengukuh koordinasi pancaindera secara seimbang. Proses ini menjadikan
pembelajaran lebih berkesan dan bermakna.
0 comments:
Post a Comment
Pandangan Anda Terhadap Blog Ini